Friday, January 16, 2009

KISAH SAYYIDATINA AISYAH R.A DIFITNAH DAN PENGAJARANNYA

Marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran dari kisah isteri Rasulullah SAW iaitu Saiyidatina Aisyah R.A yang telah difitnah dan keterangan di bawah ini di rujuk dari Kitab Tafsir Quranul Karim (oleh Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus) (halaman 511-513) berdasarkan kepada ayat 11-16 dan 19 Surah An-Nur.

Sekembalinya dari peperangan Banu Musthalaq, Aisyah turut dalam rombongan tentera. Di pertengahan jalan, pada suatu perhentian Aisyah pergi keluar, kerana suatu hajat, kemudian dia kembali ke sekdupnya.

Tiba-tiba dilihatnya kalungnya hilang tercicir. Lalu dia kembali mencari kalungnya itu. Sewaktu dia sedang mencari kalung itu, qafilah tentera berangkat tanpa menyedari bahawa Aisyah ketinggalan di belakang. Kemudian Shafwan yang berangkat di belakang tentera, melihat Aisyah tinggal sendirian. Maka tanpa berkata apa-apa kecuali, Inna Lillahi wa inna ilaihi raji’un, dia mempersilakan Aisyah naik kenderaannya. Lalu beliau pimpin unta itu, sehingga sampai bertemu dengan qafilah tentera.

Melihat hal sedemikian, kaum munafiq terutama ketuanya, Abdullah bin Ubaiy menyiarkan pembohongan dan fitnah terhadap Aisyah dan Shafwan itu.

Maka, dalam ayat 11 dan seterusnya Allah memberi peringatan dan pengajaran berikut:

1. Orang-orang yang menyiarkan kebohongan dan fitnah terhadap Aisyah itu, sebahagian dari kamu juga. Hal itu janganlah kamu kira kejahatan bagimu, bahkan kebaikan. Kerana dalam hal itu terselit pengajaran iaitu: Kita tidak boleh menuduh orang berbuat jahat dengan semata-mata melihat seorang pemudi berjalan berdua dengan seorang pemuda, lalu dituduh berbuat jahat.

2. Orang yang menuduh Muslimin/Muslimat berbuat jahat, harus menunjukkan 4 orang saksi. Kalau tidak, maka dia adalah bohong di sisi Allah.

3. Orang Mukmin dan Mukminat yang mendengar tuduhan itu, hendaklah bersangka baik terhadap saudaranya dan mengatakan: Itu adalah bohong semata-mata.

4. Berita yang kamu terima dengan lidahmu dan kamu katakan dengan mulutmu, sedang kamu tidak mengetahui kebenarannya, lalu kamu kira demikian itu tidak berdosa. Padahal di sisi Allah ia dosa besar.

5. Kalau kamu mendengar berita itu, hendaknya kamu katakan: Hal ini tidak patut kita perkatakan, Subhaanallah. Ini adalah kebohongan besar.

6. Sebenarnya orang yang menuduh itu dan orang-orang yang menyiarkannya telah berdosa; besar kecilnya menurut usahanya. Orang yang banyak usahanya mendapat siksaan yang besar.

Seterusnya menerusi Ayat 19 surah An-Nur dapatlah disimpulkan seperti berikut:

Orang-orang yang suka menyiarkan tuduhan yang jahat (berzina) pada orang-orang Islam, maka mereka mendapat siksa di atas dunia, iaitu didera 80 kali; dan di akhirat, iaitu masuk neraka jahannam.

Sebab itu jangan sekali-kali kita mempermudah-mudah mengeluar tuduhan kepada seseorang yang bernama baik, kerana memberi malu itu amat terlarang dalam agama. Orang yang berani menuduh itu, wajib mengadakan 4 orang saksi laki-laki, keempat-empatnya sebenarnya melihat orang itu berbuat jahat dengan mata kepalanya sendiri, bukan dengan semata-mata curiga atau khabar-khabar angin saja.

Dengan keterangan ini nyatalah kepada kita bagaimana kebagusan agama Islam, tentang menjaga kehormatan sesama manusia dan tidak boleh memberi malu antara seorang dengan yang lain.

Persoalannya, sudahkah kaum Muslimin dan Muslimat kita menurut aturan ini?

No comments:

Post a Comment