Wednesday, November 16, 2016

Adab Majlis Ilmu

c&p

Diskusi dhuha bersama Al Fadhil Ustaz Suhaimi Ahmad Waqid pada 25/10/16 di MSSAAS.

ADAB DALAM MAJLIS ILMU (Mengikut Imam Shafie)

1. Berwudhu - gugur dosa-dosa kecil.

2. Solat sunat 2 rakaat sebelum majlis (dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memudahkan kita untuk memahami, mengingati, mengamalkan dan menyampaikan).

3. Pakaian bersih dan menutup aurat.

4. Memakai wangi-wangian. Rasulullah ﷺ amat menyukai ambar misk.

5. Pandang mulut orang yang membaca ta'alim. Anggaplah hadis-hadis yang kita dengar sebagai sabdaan-sabdaan Rasulullah ﷺ yang datang dari mulut Baginda sendiri.

6. Guru yang membaca ta'alim, mengulangi surah Al Quran/hadis hingga 3 kali agar mudah dihayati oleh jemaah.

7. Mendengar dengan penuh kesungguhan. Ketika para sahabat RA duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah ﷺ, mereka tumpukan sepenuh perhatian hinggakan mereka tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala mereka.

Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah akan memudahkan 3 perkara:

* Allah mudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita.
* Allah mudahkan kita untuk memahami apa yang kita dengar.
* Allah mudahkan kita untuk bercakap tentang ilmu tadi bila diperlukan.

8. Anggaplah hadis yang kita dengar itu seolah-olah kali pertama kita mendengarkannya.

9. Duduk rapat-rapat (supaya syaitan tidak mencelah di antara kita dan supaya Allah satukan hati kita dan wujudkan sifat kasih sayang di antara kita). Ketika para sahabat RA duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah ﷺ, mereka duduk rapat-rapat hinggakan daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.

10. Sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal. Kalau penat duduk tahiyat awal, bolehlah berubah kepada posisi tahiyat akhir. Kalau tidak mampu juga, bolehlah duduk bersila. (Cara duduk beginilah yng ditunjukkan oleh Malaikat Jibril AS ketika dia datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengajukan beberapa soalan kepada Baginda, dengan disaksikan oleh para Sahabat.)

11. Apabila disebut nama Allah, kita sambut dengan Allahu azza wajalla atau Allahu Jalla Jallaluhu atau Subhanallah.

12. Apabila disebut nama Rasulullah ﷺ, hendaklah kita berselawat ke atas Baginda. (Malaikat melaknat orang yang tidak berselawat bila nama Baginda disebut).

13. Bila disebut nama para sahabat atau Sahabiah, kita sambut dengan RadhiAllahu Anhu / Anha.

14. Bila disebut nama orang-orang alim (seperti tabi'en, imam-imam besar dsb), kita sambut dengan Rahmatullah Alaih.

15. Bila disebut nama musuh-musuh Allah (seperti Iblis, Fir'aun, Namrud, Abu Lahab dsb), kita dibolehkan menyambut dengan Laknatullah Alaih.

16. Rasa gembira bila disebut tentang syurga dan takut bila disebut tentang neraka.

17. Jangan mengganggu perjalanan majlis (seperti berbual-bual atau bersalam-salam bila datang lewat).

18. Menghadiri majlis ta'alim adalah lebih baik daripada melakukan ibadat-ibadat sunat yang dilakukan bersendirian. Seandainya kita datang ke masjid dan mendapati majlis ta'alim sedang berlangsung, kita digalakkan supaya duduk dalam majlis ta'alim dan menggantikan solat tahiyatul masjid dengan zikir "Subhanallah Walhamdulillah Wa La Ilaha Ilallah Wallahu Akbar" 3 kali.

19. Ta'azeem bil Qalbi --- Memuliakan dan membesarkan majlis di dalam hati.

20. Tashdiq wa Yaqin --- Membenarkan dan meyakini (percaya) akan segala yang didengar.

21. Tabligh wa Amal --- Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.

Semoga bermanfaat dan agar kita semua beroleh keberkatan dari majlis ilmu/ ta'alim.

No comments:

Post a Comment